KOTA KINABALU: Industri kreatif Sabah melakar sejarah baharu apabila Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF Sabah) kini sah berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), sekali gus menjadi platform penyatuan utama penggiat seni dan kreatif di negeri ini.
Penubuhan gabungan itu merupakan hasil inisiatif kolektif sembilan persatuan seni dan kreatif tempatan yang komited memperkasakan ekosistem industri berkenaan secara lebih tersusun dan berdaya saing.
Antara persatuan yang terlibat ialah Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN), Kelab Orkestra Kinabalu Sabah (KOKiS), Persatuan Penggerak Kreatif dan Inovasi Sabah (SCREIMO) serta beberapa lagi organisasi seni di Sabah.
Pengerusi Penaja KREATIF Sabah, Chester Pang, berkata penubuhan gabungan itu menjadi simbol kejayaan penggiat seni selepas lebih sedekad usaha berterusan memperjuangkan platform rasmi bagi industri kreatif di Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, atas inisiatif mewujudkan portfolio seni kreatif di bawah Kementerian Kemajuan Sukan, Pembangunan Belia dan Ekonomi Kreatif (MYSPACE), yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh sektor berkenaan.
“KREATIF Sabah bersedia menjadi rakan strategik kepada MYSPACE bagi memacu agenda ekonomi kreatif yang dilihat kritikal kepada pertumbuhan negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, penubuhan KREATIF Sabah juga dilihat sebagai satu suara rasmi komuniti kreatif tempatan, khususnya dalam usaha merangka dasar kesenian dan kreatif yang lebih jelas, memandangkan Sabah masih belum mempunyai polisi menyeluruh dalam bidang itu berbanding negeri lain.
Katanya, gabungan itu akan berperanan sebagai penyelaras dasar dengan membantu kerajaan negeri merangka serta melaksanakan dasar ekonomi kreatif yang memenuhi keperluan industri.
Dalam masa sama, KREATIF Sabah akan memperkukuh kolaborasi strategik bersama pelbagai pemegang taruh termasuk persatuan seni budaya, institusi kreatif serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Langkah itu turut mengambil kira kedudukan strategik Sabah dari segi geografi, logistik dan hubungan antarabangsa, selain potensi besar dalam menarik pelancong melalui penjenamaan Sabah dan Borneo sebagai destinasi kreatif dan budaya.
Sehubungan itu, satu memorandum bersama akan dirangka dan dikemukakan kepada kerajaan negeri serta agensi Persekutuan berkaitan sebagai rujukan rasmi suara industri kreatif tempatan.
KREATIF Sabah juga menetapkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama pada 18 Julai ini, selain membuka keahlian kepada semua persatuan kreatif di seluruh Sabah bagi memperkukuh lagi kesatuan dan suara industri.
Penubuhan gabungan itu diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif Sabah secara lebih menyeluruh, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. – Info X