KOTA KINABALU: Usul persendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming mengenai tuntutan 40 peratus Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu lebih bermotif politik.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, menyifatkan usul itu yang ditolak Speaker DUN mahu memposisikan Warisan supaya tidak ‘tinggal kapal’ dalam perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tegasnya, kerajaan negeri pada asasnya sentiasa komited dan bergerak secara agresif menuntut hak Sabah, termasuk hasil bersih 40 peratus yang dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri ini.
“Jelas usul ADUN Kapayan lebih kepada bermotif politik dengan; Pertama, mahu memposisikan Warisan supaya tidak ‘tinggal kapal’ dalam pencapaian perjuangan MA63. Maka dicipta naratif kalau DUN atau ADUN tolak, maka perjuangan 40 peratus ditolak dan Warisan adalah pejuang tegar.
“Kerajaan Negeri sedang bergerak dengan agresif menuntut hak, tidak masuk akal bagi ADUN-ADUN Kerajaan diminta menyokong usul peribadi ADUN Kapayan yang perjuangan mereka sekadar tegar mengelirukan rakyat,” katanya.
Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS, berkata tindakan ADUN Kapayan itu adalah cubaan untuk memadamkan kesilapan besar yang dilakukan Kerajaan Negeri Warisan pada 2019.
“Apa dia kesilapan besar itu? Pertama, Kerajaan Warisan di DUN pada Ogos 2019 menyebut tidak wajar membawa perjuangan menuntut MA63 termasuk 40 peratus terhadap Kerajaan Persekutuan ke mahkamah dan hari ini seolah-olah merekalah lebih konsisten berbanding SLS dan Kerajaan Negeri.
“Kedua, Kerajaan Warisan atas kelulusan Kabinet Negeri diketuainya telah mengeluarkan surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2019 yang telah bersetuju dengan semakan kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112 (C) Perlembagaan Persekutuan hanya pada jumlah RM53.4 juta. Satu tindakan amat cuai membelakangkan kepentingan negeri,” katanya.
Tegasnya, penolakan usul persendirian di DUN bukan bermakna DUN dan Kerajaan Negeri menolak perjuangan 40 peratus.
Katanya, persepsi itu perlu dibetulkan dan menegaskan kerajaan Negeri konsisten dalam menuntut hak 40 peratus sama ada di dalam atau di luar DUN, termasuk di mahkamah.
“Boleh rujuk afidavit balasan dan penghujahan Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah yang mewakili Kerajaan Negeri, dalam kes antara Sabah Law Society (SLS) dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri tegas, hak 40 peratus adalah hak berperlembagaan yang wajib ditunaikan.
“Malah dalam Sidang DUN yang terkini juga pendirian dan tindakan Kerajaan Negeri dijelaskan, termasuk oleh YB Menteri Kewangan Sabah yang menjelaskan perkembangan rundingan, antara lain, kadar pertambahan ‘special grant’ itu berdasarkan kepada data pungutan cukai.
“Kerajaan Negeri mensasarkan pertambahan sekurang-kurangnya dari RM600 juta (kadar semasa) kepada RM3 bilion setahun, bagi peringkat awal ini. Bukan tahun depan, tapi Sabah mahu dilaksana segera,” katanya.
Armizan berkata, jika kadar semakan pemberian khas belum dilaksana Kerajaan Persekutuan sehingga tiba tempoh Sidang DUN yang akan datang, beliau akan berbincang dengan ADUN-ADUN Penyokong Kerajaan yang diketuai Datuk Masiung Banah (ADUN Kuamat) untuk membawa usul ke DUN berkaitan hak 40 peratus.
“Selain menegaskan semula pendirian dan tuntutan, penting untuk direkodkan secara rasmi dalam DUN akan kedua-dua tindakan Warisan pada tahun 2019 tersebut. Ini termasuk membentangkan secara rasmi minit Mesyuarat Kabinet Negeri Warisan dan surat-surat antara Kerajaan Warisan dan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2019 yang membawa kepada persetujuan pada kadar hanya RM53.4 juta tersebut (dokumen-dokumen ini tersimpan rapi).
“Biar kekhilafan tindakan tersebut menjadi rekod yang terpahat dalam hansard DUN untuk tatapan rakyat dan generasi akan datang,” katanya.
Armizan berkata, beliau yakin Kerajaan Persekutuan akan mengambil perhatian serius terhadap permintaan Kerajaan Negeri Sabah. – Info X