LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 menahan 20 individu serta merampas pelbagai barangan bernilai RM2,248,138.20 sepanjang April lalu.
Menerusi hantaran di Facebook (FB) rasmi, Batalion 17 PGA Lahad Datu memaklumkan sebanyak 16 serbuan dijalankan dengan 27 laporan polis direkodkan hasil penugasan Cawangan Risik serta Op Taring Esszone Kompeni A.
Daripada jumlah tangkapan itu, seramai 19 lelaki dan seorang wanita ditahan, termasuk 15 warga tempatan serta lima warga asing.

Menurut hantaran itu, rampasan membabitkan pelbagai barangan seperti ketum, dadah jenis syabu, bahan buangan terjadual, produk sejuk beku, barangan kawalan termasuk minyak masak, tong gas, petrol dan diesel selain kenderaan.
“Antara kejayaan utama ialah tangkapan seorang lelaki warga asing bersama syabu seberat 32.15 gram di kawasan Tungku pada 6 April.
“Selain itu, dua lelaki tempatan ditahan di Silabukan pada 8 April bersama empat bungkusan serbuk ketum seberat empat kilogram serta 10 botol air ketum yang sudah diproses,” menurut hantaran itu.

Kes berkenaan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi berasingan Op Tiris 4.0 pada 17 April di Batu 5, seorang lelaki tempatan turut ditahan bersama rampasan lima tong drum dan 12 jerikin berisi diesel dengan anggaran 1,240 liter.
Kes itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Menurut hantaran itu lagi, semua kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Haiwan Sabah 2015 serta Peraturan-Peraturan Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Batalion 17 PGA Lahad Datu turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Lahad Datu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah atas kerjasama dalam operasi penguatkuasaan.
Pasukan itu menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah serta menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa. – Info X