KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki ditemui terapung di perairan Kampung Lobong, Pulau Gaya, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, penemuan mayat berkenaan dimaklumkan orang awam sebelum polis bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.
Mangsa yang ditemui dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian itu kemudian dibawa ke jeti sebuah sekolah sebelum dibaws ke menaiki bot ke Jeti Taman – Taman Sabah.

Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di jeti berkenaan untuk pemeriksaan dan siasatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, setakat ini identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
“Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan ahli keluarga atau individu yang dipercayai berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) La Paula Abdul Muis di talian 011-64115848 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kami juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
Menurutnya, perkembangan lanjut kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas laporan bedah siasat diperoleh. – Info X