TAWAU: Dua lelaki dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 130.57 kilogram (kg) pada April lalu.
Tertuduh, Ng Chuan Tong, 51, dan Herman Patte, 35, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan ke atas tertuduh.
Ketika prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya seberat 130,575.18 gram pada jam 9.30 malam di Batu 15, Jalan Apas, di sini, pada 21 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh, manakala 2 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. – Info X