TAWAU: Tindakan seorang remaja lelaki menghantar gambar lucah kepada pelajar perempuan melalui aplikasi TikTok membawa padah apabila dia ditahan polis, petang tadi.
Suspek berusia 15 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau kira-kira jam 1.10 petang di kawasan tepi Jalan Melati Off Jalan Kuhara, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 malam pada 29 April lalu ketika mangsa berusia 13 tahun berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Apas sebelum menerima mesej daripada suspek menerusi akaun TikTok.
“Suspek bukan sahaja menghantar mesej berunsur lucah, malah turut menghantar gambar kemaluannya kepada mangsa sehingga menyebabkan mangsa takut terhadap keselamatan dirinya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan dibuat mangsa, polis menjalankan operasi dan berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah seksual termasuk yang dilakukan melalui platform media sosial.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau penggunaan media sosial anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada jenayah seksual siber. – Info X