Search

“Memang saya terkejut…” – Jabita kongsi detik temui Vin

May 7, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Malam penuh debaran buat sebuah keluarga di Kampung Lumadan, berakhir dengan kelegaan apabila kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemui selamat pagi ini.

Kanak-kanak berkenaan, Vin Aaric Vicktor, 7, ditemui orang awam dalam keadaan tertidur dipercayai akibat keletihan di kawasan Bukit Rimba Jaya, kira-kira 3.5 kilometer dari rumahnya.

Wanita yang menemui mangsa, Jabita Abawah berkata, dia menemui Vin ketika dalam perjalanan ke kebun kira-kira jam 7 pagi.

Menurutnya, dia sudah mengetahui mengenai kehilangan kanak-kanak itu selepas dimaklumkan menerusi kumpulan mengaji Raudah pada malam sebelumnya.

“Saya memang terkejut bila tahu budak itu hilang malam tadi. Pagi tadi masa saya pergi kebun, saya nampak dia tertidur di jalan.

“Bila saya dekat, memang budak itu. Saya terus panggil dan pujuk dia balik sebab mummy dan daddy dia sedang mencarinya,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan.

Jabita berkata, Vin kelihatan keletihan dan meminta minuman sebelum dia membawanya masuk ke dalam kenderaan untuk dihantar pulang.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke balai polis, dia terserempak dengan bapa mangsa yang sedang mencarinya sebelum kanak-kanak itu diserahkan semula kepada keluarganya.

“Alhamdulillah Vin ditemui selamat, semua ini Allah SWT yang bagi. Alhamdulillah vi selamat ditemui,” katanya.

Sementara itu,Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh ketika dihubungi mengesahkan penemuan kanak-kanak terbabit.

Terdahulu, polis menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu kira-kira jam 6.15 petang semalam selepas dimaklumkan mangsa keluar dari rumah dan tidak pulang.

Difahamlan kanak-kanak itu dipercayai keluar melalui pintu dapur rumah sebelum disedari tiada di rumah oleh ahli keluarganya.

Usaha mencari kemudian dijalankan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sekitar kawasan rumah mangsa dengan radius pencarian kira-kira 500 meter.

Operasi pencarian semalam itu juga turut menggunakan pembesar suara mudah alih dengan rakaman suara ibu mangsa kerana difahamkan mangsa takut dengan kehadiran orang ramai dan bunyi bising. – Info X