TAWAU: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan kenderaan terpakai untuk menyembunyikan dadah sebelum dihantar ke Sabah akhirnya terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan kegiatan itu dalam dua operasi berasingan di Tawau dan Sarawak.
Kejayaan operasi dikenali sebagai Op Hymenoptera dan susulan Op Coleoptera itu menyaksikan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM18.79 juta selain penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 52 tahun termasuk ketua sindiket.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, di Sabah, dua lelaki tempatan ditahan dalam dua serbuan pada 21 April dan 1 Mei lalu hasil kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Menurutnya, serbuan pertama di Batu 15, Jalan Apas, Tawau berjaya menahan dua suspek bersama sebuah Toyota Harrier sebelum pemeriksaan menemukan 128 paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 130.60 kilogram.
“Susulan itu, serbuan kedua dilakukan ke atas dua lagi kenderaan iaitu Nissan Sylphy dan Toyota Camry di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas.
“Hasil pemeriksaan menemukan 85 bungkusan syabu seberat 90.41 kilogram dan 488 bungkusan mengandungi cecair disyaki fentanyl sebanyak 0.98 liter dalam Nissan Sylphy,” katanya dalak sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas Toyota Camry pula menemukan 99 bungkusan syabu seberat 102.90 kilogram.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan di Sabah membabitkan 323.91 kilogram methamphetamine dan 0.98 liter fentanyl dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM16.34 juta.
“Rampasan dadah itu boleh merosakkan kira-kira 1.58 juta pengguna.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan modus operandi menggunakan kenderaan terpakai serta menyembunyikan dadah di ruang tersembunyi dalam kenderaan sebelum dihantar ke Sabah,” katanya.
Menurutnya, suspek pertama berperanan sebagai penghantar atau transporter manakala suspek kedua dipercayai ahli sindiket.

“Hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan lima kes dadah dan satu kes jenayah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod kesalahan jenayah.
“Kedua-dua suspek juga sudah didakwa di mahkamah semalam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan pelucuthakan harta membabitkan sitaan keseluruhan RM34,000 termasuk sebuah Volkswagen Passat, motosikal Yamaha Y16ZR dan wang tunai RM8,000.
Sementara itu, susulan Op Coleoptera di Sarawak pada 2 Mei lalu, beliau berkata JSJN menahan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan di Miri.

Katanya, pemeriksaan di dua rumah berjaya merampas wang tunai RM820,000 selain menyita beberapa kenderaan mewah termasuk Mercedes G-Wagon Brabus, dua Ford Mustang dan Toyota Harrier.
“Suspek pertama dipercayai berperanan sebagai ketua sindiket manakala suspek kedua sebagai rakan kongsi atau transporter.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun tahun lalu dengan modus operandi menyeludup bekalan dadah menggunakan pelbagai kaedah termasuk penghantaran kontena melalui laluan laut sebelum diedarkan ke Sabah, Sarawak dan pasaran antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan sitaan bagi kes di Sarawak dianggarkan bernilai RM2.42 juta.
“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X