Search

28 warga asing diberkas, sindiket pelaburan saham palsu tumpas di Tawau

May 7, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Kegiatan sindiket penipuan pelaburan saham secara atas talian yang menyasarkan warga Korea tumpas apabila polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Sri Indah, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan itu, seramai 28 warga asing terdiri daripada 27 warga China dan seorang warga Vietnam berusia antara 21 hingga 51 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Task Force KDNKA.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai masuk ke Sabah bagi menjalankan aktiviti penipuan pelaburan saham tidak wujud menerusi beberapa platform aplikasi komunikasi pesanan segera.

“Sindiket ini dipercayai menyasarkan warga Korea sebagai mangsa utama mereka.

“Lokasi yang diserbu dijadikan tempat tinggal dan rehat selain pusat operasi serta latihan untuk menjalankan kegiatan penipuan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas 33 telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua modem internet dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM50,000.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek, rangkaian sindiket, jumlah sebenar mangsa serta kerugian yang dialami.

“Saya menyeru masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan mencurigakan.

“Pastikan setiap urusan kewangan disemak terlebih dahulu dengan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan. – Info X