SEMPORNA: Perancangan menyeluruh, termasuk menambah fasiliti sedia ada perlu dilaksanakan bagi menjadikan Semporna sebagai daerah pelancongan yang hebat, selain mengembangkan potensinya dalam sektor ekonomi biru.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata daerah ini cukup istimewa kerana memiliki destinasi tumpuan yang terkenal di seluruh dunia, khususnya Pulau Sipadan, selain pulau lain yang menarik kedatangan pengunjung.
Beliau berkata, Semporna juga mempunyai potensi perikanan dan aktiviti marin yang boleh dikembangkan menerusi penerokaan sektor ekonomi biru yang disasar mampu menyumbang hasil yang besar kepada rakyat dan negeri.
“Semporna ini bukan saja pelancongan, tapi perikanan dan sumber marinnya juga cukup hebat sekali. Pegawai Daerah dalam taklimatnya juga ada perancangan yang baik untuk masa depan Semporna termasuk menjaga kebersihannya dan meningkatkan fasiliti lain seperti jeti di pulau-pulau dan lain-lain lagi.
“Semua ini akan dilihat secara menyeluruh untuk memastikan Semporna menjadi sebuah daerah pelancongan yang hebat kerana di sini ada Pulau Sipadan dan pulau lain yang cukup dikenali,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Semporna ketika lawatannya di Pulau Mataking, di sini, pada Khamis.

Lawatan ke pulau itu bersempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang bermula di Sandakan pada Selasa, sebelum ke Lahad Datu pada Rabu dan berakhir di Semporna pada Khamis.
Hajiji berkata, jika dipelihara dengan baik, sektor pelancongan di Semporna mampu menjadi khazanah yang tidak ternilai bukan saja di Sabah, malah di Malaysia keseluruhannya.
“Kita perlu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan lagi kemudahan dan juga apa yang diperlukan di daerah ini selaras dengan pembangunan pelancongan Semporna, begitu juga di Lahad Datu dan Sandakan,” katanya.

Mengenai potensi ekonomi biru, Ketua Menteri berkata pembangunan sektor itu digariskan dalam pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai antara usaha menambah hasil negeri.
“Kita akan meneroka sumber ekonomi biru dalam lima tahun akan datang dan mudah-mudahan ia menjadi aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan hasil negeri dan rakyat setempat,” katanya.
Terdahulu, Hajiji berkata program lawatannya ke gugusan pulau di sekitar Semporna, selain di Sandakan dan Lahad Datu sebelum ini adalah meninjau sendiri keadaan keselamatan terutama di pulau-pulau sekitar pantai timur Sabah.
Katanya, beliau juga mahu melihat keadaan pos kawalan keselamatam di pulau terbabit, selain mendengar taklimat mengenai pembangunan daerah di tiga daerah yang dilawati sepanjang jelajah berkenaan.
Sementara itu, pada program di Semporna, Hajiji turut melawat Pulau Sipadan dan mendengar taklimat ringkas daripada Taman-Taman Sabah mengenai perkembangan di pulau itu, disusuli peletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan. – Info X