Search

Tidak sampai lima jam, suspek kes kelar remaja perempuan diberkas

May 7, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Tidak sampai lima jam selepas seorang remaja perempuan ditemui berlumuran darah akibat dikelar di leher di dalam tandas rumah sewa di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, suspek lelaki dipercayai terbabit berjaya diberkas polis petang tadi.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menjalankan operasi mengesan suspek kira-kira jam 5.30 petang.

Difahamkan, suspek diberkas di kawasan semak di Jalan Kinarut Lama.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.

Katanya, maklumat lanjut berhubung penahanan suspek akan dikongsikan kemudian.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa perempuan warga asing berusia 16 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam tandas rumah sewa di Kampung Tuntuluk.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian leher sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Info X