KOTA KINABALU: Seramai 132 warga asing termasuk wanita dan kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan berasingan di Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Sandakan, semalam.
Operasi menerusi Ops Sapu, Ops Kutip, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar itu dijalankan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Dalam operasi di Lahad Datu, seramai 81 individu diperiksa sebelum 52 warga asing ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Semua yang ditahan terdiri daripada warga Filipina membabitkan 11 lelaki dewasa, 17 wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 15 kanak-kanak perempuan.
Sementara itu di Kota Kinabalu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar memeriksa 67 individu dengan tujuh warga asing ditahan.
Mereka terdiri daripada enam lelaki warga Filipina dan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki melakukan kesalahan imigresen.

Di Sandakan pula, seramai 147 individu diperiksa sebelum 73 warga asing ditahan dalam Ops Sapu.
Tangkapan membabitkan 12 lelaki dewasa, 19 wanita dewasa, 22 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan warga Filipina selain seorang wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia.
JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua tahanan dibawa ke depot imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Menurut kenyataan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara terus dipelihara. – Info X