Search

Kru bot terjun laut tinggalkan 4,000 liter petrol cuba diseludup

May 8, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Cubaan menyeludup kira-kira 4,000 liter petrol ke negara jiran gagal selepas dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di perairan Kudat, semalam.

Dalam kejadian itu, sebuah bot tanpa nombor pendaftaran dipintas pasukan ronda Maritim Malaysia kira-kira 1.5 batu nautika timur laut Pulau Linggisan selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kru bot terbabit bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot menemui beberapa tong drum berisi petrol yang dianggarkan berjumlah kira-kira 4,000 liter dan dipercayai cuba diseludup ke Filipina.

“Operasi ini hasil maklumat risikan serta rondaan penguatkuasaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI, Op Tiris dan Op Naga.

“Bot bersama muatan petrol yang dirampas kemudian dibawa ke Jeti Lembaga Bandaran Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan membawa barang kawalan tanpa permit atau dokumen sah.

Hasbullah berkata, Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan rondaan keselamatan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Kudat untuk tindakan segera. – Info X