Search

Pemilihan JKKK DUN Tamparuli cipta rekod

May 8, 2026

Info X Reporters

TAMPARULI: Proses pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Tamparuli diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Pemilihan Jawatankuasa Kampung Terbanyak Secara Serentak’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Madius Tangau, berkata pengiktirafan itu satu sejarah bagi DUN Tamparuli yang diwakilinya selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17)

“Pemilihan JKKK melibatkan sebanyak 94 buah kampung di lima mukim yang diadakan secara serentak di kawasan DUN Tamparuli iaitu Mukim Tenghilan, Topokon, Mangkaladoi, Pantai dan Mukim Tamparuli.

“Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh rakyat Tamparuli kerana ia membuktikan masyarakat luar bandar juga mampu melaksanakan proses pemilihan komuniti secara tersusun, telus dan berintegriti.

“Ia juga mencerminkan komitmen semua pihak termasuk Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, UPPM, petugas serta masyarakat kampung yang telah bersama-sama menjayakan proses ini,” katanya.

Madius berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah JKKK Peringkat DUN Tamparuli di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, di sini, pada Jumaat.

Sijil pengiktirafan The Malaysia Book of Records ‘Most Villages in a Simultaneous Village Committee Election’ itu diberikan Dr Stanley Tulis Missun kepada Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hannevy W Harry selaku Pengerusi Pelaksana Proses Pemilihan JKKK DUN Tamparuli pada 15 Mac 2026.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Watikah JKKK Tamparuli dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Datuk Rubin Balang.

Rubin turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan yang disampaikan Madius kepada wakil JKKK dari setiap mukim di DUN Tamparuli.

“Kita berterima kasih atas sokongan yang diberikan pihak KPLB sehingga proses pemilihan JKKK dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Pelaksanaan pemilihan secara serentak ini juga adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem tadbir urus kampung yang lebih demokratik dan inklusif,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Madius turut mengumumkan pelaksanaan pertandingan Program Kampung Lestari Peringkat Daerah Kecil Tamparuli yang dilaksanakan bersama rakan strategik Zero Waste Sabah dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

Katanya, program itu memberi penekanan terhadap pembangunan komuniti yang lebih lestari menerusi aspek pengukuhan ekonomi kampung, pemeliharaan adat dan budaya, pengurusan sisa, pemuliharaan alam sekitar serta pembangunan komuniti mampan. – Info X