Search

Dua wanita tersepit selepas Proton Saga terbabas masuk parit

May 8, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua wanita berdepan detik cemas apabila kereta Proton Saga dinaiki terbabas sebelum masuk ke dalam parit di Jalan Sungai Batang, Batu 10, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, kedua-dua mangsa 21 dan 26 tahun dilaporkan tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, jentera tiba di lokasi pada jam 7.21 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 21 kilometer.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga yang terbabas masuk ke dalam parit.

“Terdapat dua mangsa wanita tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan kedua-duanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang mangsa diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut, manakala seorang lagi dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 7.30 malam sebelum ditamatkan lapan minit kemudian selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi. – Info X