KOTA KINABALU: Peranan media dalam era digital kini menjadi antara elemen paling penting dalam memperluaskan kesedaran integriti dan budaya antirasuah kepada masyarakat.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, perkembangan teknologi dan penggunaan platform digital secara meluas menjadikan media saluran utama dalam menyampaikan maklumat berkaitan usaha pencegahan rasuah.
Katanya, pengamal media memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat selain membantu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap usaha penguatkuasaan serta pendidikan antirasuah.
“Dalam era digital hari ini, media menjadi saluran utama untuk memperluaskan kempen kesedaran integriti dan budaya antirasuah kepada semua lapisan masyarakat.
“Kerjasama strategik antara SPRM dan media amat penting dalam memastikan maklumat sahih berkaitan usaha pencegahan rasuah dapat disampaikan secara tepat dan berkesan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Court Talk: Communicator & Media di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil serta Ketua Cawangan Korporat dan Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM Ibu Pejabat, Badrila Jamlus.
Mohd Fuad berkata, media bukan sahaja berperanan melaporkan berita, malah menjadi rakan strategik dalam membina masyarakat yang lebih peka terhadap isu integriti dan salah guna kuasa.
“Penyebaran maklumat yang cepat melalui platform digital memberi peluang lebih luas kepada masyarakat mendapatkan pemahaman mengenai bahaya rasuah serta kepentingan tadbir urus yang baik.
“Pengamal media juga membantu memastikan mesej kempen antirasuah dapat menembusi semua lapisan masyarakat termasuk golongan muda yang aktif menggunakan media sosial.
“Media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran masyarakat, sebab itu penyampaian maklumat yang tepat, berintegriti dan bertanggungjawab amat penting dalam usaha membudayakan penolakan terhadap rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata SPRM Sabah terus memperkukuh pelbagai program pendidikan dan advokasi bersama media, institusi pendidikan, sektor swasta dan komuniti akar umbi bagi meningkatkan kesedaran integriti dalam kalangan rakyat.
Beliau berharap kerjasama erat antara SPRM dan pengamal media dapat diteruskan bagi memastikan usaha memerangi rasuah dapat diperkasakan secara menyeluruh. – Info X