Search

KREATIF SABAH sokong cadangan insentif tambahan industri perfileman

May 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) menyokong cadangan pemberian insentif tambahan antara lima hingga lapan peratus oleh Kerajaan Sabah bagi memperkasakan industri perfileman di negeri ini.

Cadangan itu dikemukakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, sebagai tambahan kepada rebat sedia ada Film in Malaysia Incentive (FIMI) sebanyak 30 peratus, sekali gus menjadikan Sabah lebih kompetitif sebagai destinasi penggambaran filem antarabangsa.

Pengerusi KREATIF SABAH, Chester Pang, berkata pihaknya komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada FINAS bagi memastikan pelaksanaan insentif itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penggiat industri kreatif tempatan.

Beliau berkata, usaha itu juga penting bagi memastikan pembangunan bakat kreatif tidak hanya tertumpu di bandar utama, sebaliknya turut melibatkan komuniti di kawasan luar bandar Sabah.

“KREATIF SABAH komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada FINAS bagi merealisasikan insentif ini serta memastikan pembangunan bakat kreatif dapat diperluaskan ke seluruh pelosok negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, dalam majlis penutupan bengkel penulisan skrip FINAS di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, Chester yang juga Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menyerahkan memorandum kepada FINAS bagi menjalin kerjasama strategik dalam memperluaskan pembangunan industri kreatif di Sabah.

Menurut beliau, perkembangan industri filem Sabah ketika ini menunjukkan perubahan positif hasil sokongan berterusan FINAS terhadap penggiat seni tempatan sejak sekian lama.

Katanya, industri perfileman Sabah pernah bermula secara kecil-kecilan dengan penjualan karya dalam bentuk VCD dan DVD di tamu serta pasar malam, namun kini karya anak tempatan berjaya menembusi layar perak dan mendapat perhatian lebih meluas.

“Pencapaian membanggakan ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan dan penglibatan berterusan daripada FINAS,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hans ketika berucap pada majlis berkenaan menjelaskan model insentif tambahan itu diinspirasikan daripada pendekatan di Australia, apabila kerajaan negeri menawarkan peruntukan tambahan selain insentif kerajaan pusat bagi menarik pelaburan industri kreatif.

Beliau berkata, langkah sedemikian mampu memberikan kelebihan strategik kepada Sabah dan Sarawak dalam menarik lebih banyak produksi filem antarabangsa untuk menjalankan penggambaran di Malaysia Timur.

Bengkel penulisan skrip anjuran FINAS itu berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Mei lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk meningkatkan mutu pengisian kreatif dan pembangunan bakat dalam industri perfileman tempatan. – Info X