Search

JIM Sabah tahan 21 warga asing dalam Ops Sapu di Kota Kinabalu

May 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 21 warga asing termasuk kanak-kanak ditahan dalam operasi bersepadu menerusi Ops Sapu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar bandar raya ini, semalam.

Dalam operasi itu, tiga premis diperiksa dengan seramai 40 individu menjalani pemeriksaan dokumen sebelum 21 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63.

JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan, semua yang ditahan terdiri daripada 19 warga Filipina membabitkan empat lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia.

“Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan JIM Sabah bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.

Katanya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI.

“JIM Sabah turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.

“Tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang terutama membabitkan isu keselamatan,” katanya. – Info X