KOTA KINABALU: Seramai 17 peserta, masing-masing 14 lelaki dan tiga wanita berjaya menamatkan Kursus Sijil Kejurulatihan Futsal Tahap 1 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), di sini.
Kursus siri ke-10 di Sabah itu disertai peserta berusia antara 20 hingga 40-an, termasuk seorang peserta dari Brunei.
Penganjurannya dilihat sebagai langkah berterusan memperkukuh pembangunan futsal akar umbi di negeri ini.
Penganjur memaklumkan, Sabah kini mempunyai kira-kira 150 jurulatih Tahap 1, 40 jurulatih Tahap 2 dan hanya seorang jurulatih Tahap 3, iaitu tahap tertinggi dalam sistem kejurulatihan futsal AFC.
Ketua Instruktor kursus, Azman Soaibah yang mewakili Football Association of Malaysia (FAM) dan Asian Football Confederation (AFC), berkata laluan pembangunan jurulatih futsal dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Tahap 1 hingga Tahap 3.
Katanya, Tahap 3 memberi penekanan lebih menyeluruh melibatkan elemen kecergasan dan teknikal lanjutan, manakala Tahap 1 memfokuskan asas kejurulatihan.
Beliau turut memaklumkan baru saja menamatkan kursus Tahap 3 tahun ini dan kini menjadi antara segelintir jurulatih di Malaysia yang memiliki kelayakan tersebut.
Azman berkata, pendidikan futsal di peringkat awal penting bagi melahirkan pemain berkualiti sejak usia muda, seiring pembangunan futsal di negeri-negeri lebih maju seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
“Sabah juga mempunyai ramai pemain berbakat termasuk pemain kebangsaan seperti Safar Mohammad dan Iwan Bakri selain pencapaian memberangsangkan dalam temasya SUKMA sebelum ini,” katanya.
Perkembangan itu dilihat memberi petanda positif menjelang SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung di Sabah tahun depan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Sabah Football Association (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah berkata pembangunan futsal memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk persatuan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, komuniti serta jurulatih di peringkat akar umbi.
Jelasnya, komitmen jurulatih berkualiti amat penting dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat dan berdaya saing.
Beliau berharap semua peserta kursus terus aktif menyumbang kepada pembangunan futsal di kawasan masing-masing serta menjadi agen perubahan dalam memperkukuh ekosistem sukan futsal negara.
Tambahnya, proses pembelajaran seorang jurulatih tidak terhenti selepas memperoleh sijil kerana dunia sukan sentiasa berkembang dengan pendekatan baharu, teknologi moden dan corak permainan yang semakin pantas.
Sehubungan itu, beliau menggesa jurulatih sentiasa menambah ilmu, mengikuti perkembangan semasa dan memperbaiki diri agar terus relevan serta mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, tenaga pengajar, fasilitator dan urus setia yang menjayakan Kursus Kejurulatihan Futsal AFC Tahap 1 Tahun 2026.
Beliau yakin peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan mampu melahirkan generasi pemain futsal lebih berkualiti dan berupaya mengharumkan nama negeri serta negara pada masa hadapan. – Info X