KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Sabah memberi tumpuan serius terhadap industri minyak dan gas, selain menyatakan sokongan penuh kepada SAAEM Sabah Sdn Bhd yang disifatkan sebagai pemain baharu tempatan milik anak Sabah.
Presidennya, Datuk M Sapawae @ Sapawai Tussin berkata, fokus itu selari dengan usaha memperkukuhkan penglibatan syarikat tempatan dalam industri berkenaan, khususnya membabitkan syarikat yang mempunyai pegangan saham rakyat Sabah.
Katanya, DPMM Sabah akan terus menyokong perkembangan dan pengukuhan syarikat itu dalam ekosistem industri minyak dan gas yang semakin berkembang di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sebuah hotel, di sini, Sabtu lalu.
Majlis itu menyaksikan SAA Engineering & Marine Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik bersama SAAEM Sabah Sdn Bhd selain berlangsungnya penyerahan Surat Hasrat (LOI) membabitkan DPMM Sabah.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua (TYDP) DPMM Sabah, Muhammad Gaddafi Gulistan dan Naib Yang Dipertua, Shah Fareed Datuk Awang Sham.
Sementara itu, Pengarah Urusan SAAEM Sabah, Muhammad Nasruddin Salim berkata, kerjasama berkenaan menjadi langkah strategik dalam memperkukuh industri minyak dan gas Sabah menerusi peningkatan penglibatan syarikat tempatan, pembangunan kapasiti serta pemindahan teknologi.
Menurutnya, kerjasama bersama SAA Engineering & Marine yang berpangkalan di Terengganu itu membawa kepakaran teknikal yang mampu meningkatkan keupayaan dan daya saing syarikat serta vendor tempatan.
Pada majlis sama, cawangan Sabah SAAEM turut menyerahkan permohonan keahlian kepada DPMM Sabah sebagai usaha mengeratkan lagi hubungan dengan komuniti perniagaan tempatan. – Info X