BEAUFORT: Dua lagi lelaki tempatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd di Menumbok, di sini, didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 33 tahun itu dikesan positif dadah selepas menjalani pemeriksaan saringan air kencing di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Beaufort.
Katanya, pemeriksaan dilakukan susulan tangkapan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Beaufort berkaitan kes khianat dan kecurian kabel di sebuah pencawang berhampiran Perkuburan Cina Kampung Asam Jawa, Menumbok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek sudah dimasukkan ke lokap Balai Polis Beaufort untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, BSJ IPD Beaufort dilaporkan berjaya menahan seorang suspek utama bersama beberapa barang kes termasuk kabel yang sudah dipotong, dawai, enjin sangkut Yamaha 40HP serta tong minyak petrol dalam operasi di Jalan Kampung Melikai, Menumbok.
Hasil siasatan awal mendapati kumpulan suspek dipercayai merosakkan kunci pencawang sebelum memutuskan bekalan elektrik dan meleraikan kabel serta komponen tembaga transformer sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM100,000.
Siasatan turut mendapati suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes kecurian kabel di sekitar Beaufort dan Kuala Penyu. – Info X