Search

Lelaki ditemui meninggal dunia belakang rumah

May 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di belakang sebuah rumah di Taman Iramanis, Luyang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Balai Polis Luyang menerima panggilan daripada seorang pengadu yang meminta bantuan selepas menemui lelaki tidak dikenali terbabit terbaring di belakang rumahnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati pengadu dimaklumkan jirannya mengenai kehadiran seorang lelaki yang terbaring di kawasan belakang rumahnya.

“Pengadu kemudian bergegas pulang ke rumah sebelum menemui lelaki berkenaan terbaring berhampiran pintu dapur rumahnya.

“Pengadu seterusnya menghubungi ambulans dan pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan doktor dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) mengesahkan lelaki terbabit meninggal dunia kira-kira jam 6.34 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tiada unsur jenayah ditemui pada tubuh mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan polis. – Info X