Search

Kanak-kanak perempuan ditemukan lemas

May 10, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditemukan lemas di sungai Kampung Andap Bangau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dipercayai lemas selepas keluar bersama rakannya berhampiran kawasan sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada Unit Kecemasan Hospital Kudat kira-kira jam 8 malam.

Katanya, mangsa ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 6.10 petang sebelum dibawa ke Hospital Kudat.

“Anggota bomba turut menjalankan CPR terhadap mangsa, namun mangsa disahkan meninggal dunia di hospital.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut. – Info X