TAMBUNAN: Sabah memerlukan lebih ramai pengusaha pertanian tempatan yang berdaya maju bagi membantu meningkatkan pengeluaran bekalan makanan dan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap import hasil pertanian dari luar negara.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, peranan pengusaha tempatan amat penting dalam memastikan bekalan makanan negeri terus mencukupi selain membantu menstabilkan harga pasaran.
Beliau berkata, Sabah ketika ini masih berdepan cabaran berkaitan import hasil pertanian terutama dari Semenanjung Malaysia dan Indonesia.
“Namun begitu, kita berharap dapat mencari situasi menang-menang dan pihak kementerian akan sentiasa membantu para pengusaha tempatan.
“Yang penting, kita dapat mengawal selia pengeluaran dan seterusnya membantu menstabilkan harga pasaran,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi pertanian di Tambunan, hari ini.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Kolam Bio Flok Kampung Karas Maras, Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar Stesen Mahua, syarikat Borneo Top dan Kampung Linuk.
Dalam lawatan itu, Jamawi berkesempatan bertemu pengusaha ternakan ikan, Barry Ronald yang mengusahakan ternakan ikan tilapia merah, tilapia hitam dan ikan keli Afrika sejak dua tahun lalu.

Beliau turut melawat syarikat Borneo Top milik Alan See yang mengusahakan tanaman hidroponik dan fertigasi melibatkan tomato, salad, timun serta cili untuk dipasarkan di sekitar Kota Kinabalu selain Sarawak dan Brunei.
Menurut Jamawi, kementeriannya akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan pengusaha pertanian tempatan bagi memastikan kapasiti pengeluaran dapat dipantau secara lebih sistematik.
Katanya, sebuah persatuan melibatkan pengusaha dan petani wajar diwujudkan bagi mengumpul data penanaman sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian untuk menilai keperluan sebenar import makanan dari luar negara.
“Jadi kita akan berbincang dengan Jabatan Pertanian supaya kita tahu berapa kapasiti pengeluaran para petani dan pengusaha lain.
“Dengan itu, kita boleh mengurangkan import dari luar,” katanya.
Beliau berkata, langkah mendapatkan data pengeluaran yang tepat penting bagi membantu kerajaan merancang dasar bekalan makanan negeri secara lebih efektif selain memastikan hasil tempatan mendapat pasaran sewajarnya.
Dalam perkembangan sama, Jamawi turut meminta pegawai pertanian turun padang bertemu pengusaha bagi membantu mereka mendaftar dalam aplikasi Kebun Dapur yang bakal diperkenalkan kementerian itu.
Katanya, aplikasi berkenaan dijangka membantu memudahkan pemantauan pengeluaran serta penyelarasan maklumat berkaitan sektor pertanian tempatan.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Alan kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sejak penubuhan Borneo Top di Kampung Tiang.
Jamawi turut mengadakan lawatan ke Kampung Libang Ulu yang mempunyai kawasan tanaman nanas seluas kira-kira 400 ekar.
Beliau memuji penglibatan golongan muda berusia antara 19 hingga 30-an yang aktif menceburi sektor pertanian di kawasan berkenaan dan menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif terhadap masa depan industri agromakanan negeri.
Dalam lawatan itu juga, beliau berkesempatan beramah mesra dengan penduduk kampung selain menyampaikan penghargaan kepada pemenang kategori Penanam Nanas Terbaik di kampung berkenaan.
Turut hadir, Pembantu Menteri I, Ruslan Muharam; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jumain Abdul Ghani; Timbalan Pengarah Pertanian Sabah, Jackson R Jaimi; Pegawai Daerah Tambunan, Mohd Azri Jaini Jeffrey serta pegawai kementerian lain. – Info X