KOTA KINABALU: Dua peninju kelahiran Sabah mencuri tumpuan apabila berjaya mengharumkan nama negeri dalam kejohanan tinju profesional antarabangsa, Twins Championship 104: Sabah Showdown di Dewan Kebudayaan Penampang, di sini, semalam.
Kejohanan berprestij itu menghimpunkan peninju dari beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina dan India sekali gus menjadi pentas terbaik buat atlet tempatan Sabah membuktikan kemampuan mereka di gelanggang profesional.
Antara paling menyerlah ialah peninju muda berbakat dari Sepanggar, Dzareez Redza atau lebih dikenali sebagai ‘USK’ yang berjaya menewaskan Mikha Skywalker dari Selangor dalam kategori featherweight 57 kilogram.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Dzareez, 25, yang turun membuat penampilan sulung dalam arena tinju profesional selepas sebelum ini merekodkan 11 kemenangan dan tiga kekalahan di peringkat amatur.
Lebih membanggakan, peninju dari Kota Kinabalu Boxing Club (KKBC) itu mempamerkan aksi penuh disiplin dan keberanian sepanjang pertarungan untuk muncul juara di hadapan penyokong sendiri.
Dzareez yang dibimbing jurulatih Khairul Azim turut dilihat mempunyai potensi besar untuk digilap sebagai antara prospek terbaik Sabah dalam arena tinju profesional negara.
Turut mencuri perhatian ialah seorang lagi anak Sabah, Khairul Azim atau ‘King Azim’, 28, yang berjaya menewaskan peninju Indonesia, Suryadi Tambunan.
Kemenangan itu dianggap cukup besar memandangkan Suryadi sebelum ini berada di kedudukan nombor satu BoxRec Indonesia, manakala Khairul Azim berada di ranking kedua Malaysia.
Peninju kelahiran Sepanggar itu yang berlatih di bawah kendalian jurulatih Adzlin Apat sekali lagi membuktikan kemampuannya sebagai antara nama besar tinju Sabah apabila kini memiliki rekod profesional lima kemenangan dan satu kekalahan.
Sepanjang kejohanan berlangsung, Dewan Kebudayaan Penampang dibanjiri penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada atlet masing-masing bermula dari kategori amatur, undercard sehingga kemuncak aksi profesional pada sebelah malam.
Penganjuran Twins Championship 104 turut dianggap sebagai titik kebangkitan baharu sukan tempur di Sabah dengan ramai berharap lebih banyak kejohanan bertaraf antarabangsa dibawa ke negeri ini pada masa depan.
Selain membuka ruang kepada atlet tempatan bersaing di peringkat lebih tinggi, kejohanan seperti ini juga mampu menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk menceburi sukan secara positif dan berdisiplin.
Sabah sekali lagi membuktikan negeri itu bukan sahaja kaya dengan budaya dan warisan, malah memiliki ramai pejuang berbakat yang mampu membawa nama negeri ke pentas dunia. – Info X