BELURAN: Seorang lelaki dipercayai warga asing maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri di Kilometer (KM) 85 Jalan Sapi Nangoh – Botition, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas video kemalangan terbabit tular di media sosial.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan hanya membabitkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa.
“Siasatan mendapati motosikal mangsa dipercayai terbabas sendiri dan ketika kejadian mangsa disyaki menunggang dalam keadaan laju.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius di muka selain patah tulang hidung dan kaki,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Nangoh sebelum mayat dihantar ke Hospital Beluran untuk tindakan lanjut.
Hasan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa dan dipercayai lelaki itu adalah warga asing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis turut meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian tampil membantu siasatan,” katanya. – Info X