LAHAD DATU: Cubaan membawa masuk puluhan ribu produk kosmetik tanpa dokumen sah dari Filipina gagal apabila sebuah feri ditahan dalam operasi khas di perairan Lahad Datu, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 8.05 pagi itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menahan feri berkenaan hasil maklumat risikan.
Pemeriksaan menyeluruh dilakukan dari aras bawah hingga ke aras atas feri sebelum menemui kira-kira 70 longgokan kotak mengandungi pelbagai jenis kosmetik dipercayai dibawa masuk dari Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menuju ke Lahad Datu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih kurang 24,176 unit pelbagai jenis kosmetik di dalam feri terbabit.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM360,986.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua barangan berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit sah daripada Bureau of Customs Filipina.
“Semua rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi dan pemantauan di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta kemasukan barang tanpa cukai yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
“Orang ramai juga diseru supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X