Search

Bil elektrik melambung, pengguna terbeban

May 11, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Penduduk di daerah ini merayu kerajaan negeri dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) supaya meneliti dan mengkaji segera punca peningkatan mendadak bil elektrik pengguna yang didakwa berlaku sejak April.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik, berkata beliau menerima banyak aduan dan keluhan daripada pengguna elektrik yang terkejut dengan jumlah bil diterima, walaupun penggunaan harian mereka didakwa tidak banyak berubah.

Katanya, sebahagian pengguna memaklumkan bil elektrik mereka meningkat sehingga sekali ganda berbanding berbanding sebelum ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Ramai pengguna mendakwa penggunaan tenaga elektrik mereka masih seperti biasa, namun apabila menerima bil bulan April, jumlahnya meningkat dengan ketara.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan dan kebimbangan rakyat, terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kenaikan itu turut menyebabkan ada pengguna diarahkan menambah bayaran cagaran dalam jumlah yang tinggi.

Katanya, terdapat pengguna menerima bil RM493, namun pada masa sama diminta menambah cagaran sehingga RM560.

“Situasi ini amat membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sedang berdepan tekanan ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, Yazid merayu kepada kerajaan dan pihak SE agar menjalankan penelitian menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar peningkatan bil pengguna demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Katanya, rakyat ketika ini sedang berusaha menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang keperluan harian.

“Kenaikan bil utiliti secara mendadak sudah tentu memberi tekanan dan bebanan tambahan kepada rakyat, lebih-lebih lagi keluarga yang mempunyai ramai tanggungan, warga emas dan penduduk luar bandar,” katanya.

Beliau menegaskan rakyat tidak menolak untuk membayar bil utiliti, namun berharap kadar dikenakan adalah munasabah dan selaras dengan penggunaan sebenar.

“Sekiranya terdapat perubahan sistem, pelarasan tarif atau isu bacaan meter, penjelasanperlu diberikan supaya pengguna memahami keadaan sebenar dan tidak terus dibebani dengan tanda tanya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pihak SE dapat mengambil pendekatan lebih mesra rakyat dengan memperhalusi setiap aduan pengguna dan menimbang langkah bersesuaian bagi meringankan beban rakyat.

“Keutamaan ketika ini ialah memastikan rakyat tidak terus tertekan dengan peningkatan kos kehidupan. Semoga ada penyelesaian terbaik demi kesejahteraan semua,” katanya. – Info X