KOTA KINABALU: Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara selepas dilantik mewakili DAP Sabah.
Beliau menggantikan bekas Ahli Parlimen Tenom dari DAP, Noorita Sual yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negara atau Senator.
Jin Zhe dalam perkongsian di akaun Facebook beliau menyifatkan pelantikannya sebagai amanah untuk negara.
“Hari ini, seperti juga sepanjang perjalanan ini, saya tetap berpijak pada keyakinan dan perjuangan yang tidak pernah berubah.
“Tidak kira apa jua jawatan dan peranan yang saya galas, saya sentiasa mencintai amanah ini — untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Dengan sokongan parti dan negara, serta perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya diberikan amanah untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.
“Amanah ini mengingatkan saya untuk bekerja lebih keras demi tanah air yang kita cintai ini,” katanya.
Beliau yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), November tahun lalu, mengakui menerima pelbagai kritikan, teguran dan harapan selepas berakhirnya pilihan raya itu.
“Sepanjang enam bulan lalu, suara, kritikan, teguran dan harapan daripada rakyat, semuanya saya dengar dan saya simpan dalam hati.
“Melangkah ke Parlimen, saya akan terus berdiri tanpa rasa gentar. Suara rakyat mesti mengatasi kepentingan politik dan parti.
“Saya akan terus berani bersuara dan berjuang demi Sabah, mempertahankan hak Sabah dibawah MA63, serta bertekad membina sebuah Persekutuan Malaysia yang lebih adil dan saksama buat Sabah.
“Kini, izinkan saya melangkah dengan lebih tekad, bekerja dengan lebih keras dan menjadi suara Sabah yang teguh di Dewan Negara,” katanya. – Info X