LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala tiga lagi termasuk bayi perempuan berusia lapan bulan cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Jalan Bukit Belacon Segama, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.47 pagi itu, mangsa, Nalma Ato, 29, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan jenis Toyota SR.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 5 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota SR yang dipercayai terbabas sendiri.
“Terdapat seorang mangsa wanita tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, tiga lagi mangsa masing-masing lelaki berusia 42 dan 25 tahun serta seorang bayi perempuan berusia lapan bulan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Lahad Datu menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.39 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X