Search

Crizzelbellkah Unduk Ngadau Matunggong 2026

May 11, 2026

Info X Reporters

MATUNGGONG: Crizzelbellkah Lorris dinobatkan sebagai johan Unduk Ngadau Peringkat Daerah Kecil Matunggong 2026 sempena sambutan Kaamatan, di sini, pada Sabtu.

Majlis yang dirasmikan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki itu turut menyaksikan Wiwielian Phang dan Ellyzzie Casey Epson, masing-masing menduduki naib johan dan tempat ketiga.

Terdahulu, Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, mengingatkan rakyat negeri ini supaya terus menghargai keharmonian dan perpaduan yang dinikmati selama ini.

Katanya, tidak semua negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum mampu mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan, namun di Sabah rakyatnya yang berbilang kaum membuktikan keupayaan mengekalkan dua elemen penting itu.

Beliau berkata, masyarakat Sabah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana rakyatnya hidup dalam suasana saling menghormati walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama.

“Kita di Sabah biasanya memandang orang sebagai orang, sebagai saudara, bukan melihat kepada bangsanya. Itulah kelebihan kita yang perlu kita jaga,” katanya dalam ucapan perasmiannya.

Beliau berkata, rakyat tidak boleh memandang ringan nilai perpaduan kerana terdapat negara lain yang pernah mengalami konflik dan pergolakan akibat perpecahan dalam masyarakat.

“Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi di Sabah hari ini perlu terus dipelihara supaya negeri ini kekal stabil dan mampu berkembang dengan lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, keharmonian dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat juga memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara, sekali gus membolehkan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kalau masyarakat kita terus bersatu dan hidup dalam keadaan harmoni, negeri juga akan kekal stabil dari segi politik. Apabila keadaan stabil, kerajaan dapat memberi tumpuan kepada pembangunan dan keperluan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Pesta Kaamatan adalah antara contoh terbaik bagaimana rakyat Sabah mampu meraikan kepelbagaian budaya dalam suasana aman dan harmoni.

Katanya, tema Kaamatan tahun ini, ‘Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian’, amat bertepatan dengan identiti masyarakat Sabah yang hidup dalam keadaan saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.

“Kaamatan bukan sekadar perayaan kebudayaan, tetapi juga lambang perpaduan masyarakat Sabah yang hidup bersama dalam keadaan aman dan saling menghargai,” katanya. – Info X