KINABATANGAN: Sebanyak 11 ekor gajah termasuk seekor anak gajah diselamatkan selepas terperangkap di dalam sebuah kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Ladang FGV Cepat Ringgit B, di sini.
Menurut kenyataan yang dikongsikan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di halaman rasmi Facebook iaitu 5R Hidupan Liar, kejadian terbabit dipercayai berlaku minggu lalu akibat keadaan tebing kolam yang curam serta licin, sekali gus menyukarkan haiwan berkenaan keluar dari kawasan itu.
Menurut kenyataan itu juga, semua gajah Pygmy Borneo diselamatkan oleh pasukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) daerah Kinabatangan yang dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Pasukan bertindak membentuk laluan keluar yang lebih landai dan selamat bagi membolehkan kawanan gajah keluar dari kolam.
“Berkat usaha serta kerjasama semua pihak, kesemua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu juga, JHL mencadangkan agar kolam terbiar itu ditutup atau dipasang halangan keselamatan bersesuaian bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.

JHL turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pekerja ladang yang menyalurkan maklumat awal sehingga operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera.
“Ini membuktikan kerjasama antara agensi, pihak ladang dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan hidupan liar terus terpelihara, khususnya spesies ikonik Sabah seperti gajah Pygmy Borneo,” menurut kenyataan itu. – Info X