Search

Remaja 17 tahun didakwa dirogol ketika pulang kenduri kahwin

May 12, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang buruh warga asing diberkas kurang sejam selepas laporan dibuat berhubung kes rogol membabitkan remaja perempuan berusia 17 tahun di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Brumas, di sini.

Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam Ahad lalu, mangsa dikatakan diserang ketika berjalan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis kenduri kahwin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan polis dibuat bapa tiri mangsa kira-kira jam 12.55 tengah malam selepas dimaklumkan mengenai kejadian menimpa remaja terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mendakwa ditahan sebelum ditarik masuk ke rumah suspek yang dikenalinya.

“Suspek kemudian dipercayai menutup mulut mangsa menggunakan kain sebelum bertindak merogol mangsa.

“Susulan laporan diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai bersama anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad menjalankan operasi mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil tindakan pantas itu, suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an berjaya diberkas kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan perumahan pekerja di Brumas.

Katanya, polis turut merampas beberapa barang kes bagi membantu siasatan termasuk sehelai baju, seluar dan tilam dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta segera membuat laporan sekiranya melihat sebarang perlakuan mencurigakan demi menjaga keselamatan diri dan komuniti setempat. – Info X