Search

Doktor bersama pasangan disogit RM15,000 kerana langgar adat

May 12, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang doktor bersama pasangannya diperintah membayar sogit bernilai RM15,000 atau bersamaan tiga ternakan besar selepas didapati melanggar adat berkaitan mengahwini isteri atau suami orang lain.

Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Keningau mengikut Kaedah 19(1), Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 dan Pindaan Undang-Undang Adat Anak Negeri 1995 pada prosiding, di sini, hari ini.

Ia susulan satu tuntutan saman ‘lapau’ difailkan suami kepada pasangan doktor terbabit selepas wanita berkenaan didakwa berkahwin ketika masih berstatus isteri kerana perkahwinan terdahulunya belum dibubarkan.

Saman ‘lapau’ adalah tuntutan di bawah adat Anak Negeri yang merujuk kepada tuntutan terhadap pihak yang didakwa mengganggu atau merosakkan hubungan rumah tangga orang lain, termasuk membabitkan isu perkahwinan sedia ada yang belum dibubarkan mengikut adat dan undang-undang berkaitan.

Keputusan itu dibacakan panel Mahkamah Anak Negeri Keningau selepas meneliti keterangan, dokumen dan hujahan yang dikemukakan sepanjang prosiding.

Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan itu adalah berasas dan disokong bukti yang mencukupi mengikut Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 dan Pindaan Undang-Undang Adat Anak Negeri 1995.

Mahkamah turut berpendapat pihak plaintif dan Defenden 2 (pasangan) masih mempunyai hubungan perkahwinan yang sah berdasarkan rekod perkahwinan yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2018 serta dikurniakan dua orang anak.

Mahkamah juga meneliti isu berkaitan perkahwinan Defenden 2 dengan Defenden 1 (doktor) ketika hubungan perkahwinan sedia ada dengan pihak plaintif masih belum dibubarkan.

Sepanjang prosiding, isu berkaitan pengisytiharan status perkahwinan Defenden 2 dalam dokumen yang melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JAHEINS) turut disentuh berdasarkan keterangan dan dokumen yang dikemukakan di mahkamah.

Selain sogit utama bernilai RM15,000, kedua-dua defendan turut diperintah membayar sogit tambahan berkaitan dua anak defendan 2 bernilai RM4,000.

Mahkamah menetapkan tempoh pembayaran selama 21 hari bekerja bermula tarikh keputusan dibacakan dan jika gagal mematuhi perintah itu boleh menyebabkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Dalam keputusan sama, mahkamah turut menasihatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan, ugutan atau kenyataan yang boleh menjatuhkan maruah mana-mana pihak, khususnya di media sosial. – Info X