Search

JIM Sabah tahan 38 PATI di Kudat, Tawau

May 12, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 38 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Kudat dan Tawau, baru-baru ini.

Operasi menerusi Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar itu dijalankan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta individu yang melakukan kesalahan imigresen.

Dalam operasi di Kudat, seramai 20 individu diperiksa sebelum 15 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas.

Semua yang ditahan membabitkan warga Filipina terdiri daripada tiga lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

Sementara itu di Tawau, operasi Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar memeriksa seramai 56 individu dengan 23 warga asing ditahan.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dewasa, enam perempuan dewasa dan dua kanak-kanak perempuan warga Filipina selain seorang lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa warga Indonesia.

Turut ditahan seorang lelaki warga India kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara. – Info X