SEMPORNA: Seorang wanita warga asing ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penemuan bayi lelaki yang ditinggalkan di laluan pejalan kaki depan sebuah rumah kosong di Kampung Panji, di sini, pagi tadi.
Bayi dipercayai berusia dua bulan itu ditemukan orang awam dalam keadaan berbungkus kain kira-kira jam 7 pagi sebelum laporan dibuat kepada polis pada jam 8.16 pagi.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, bayi seberat kira-kira tiga kilogram itu kemudian dibawa ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati bayi berkenaan berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bayi itu masih berada di bawah pemantauan pihak hospital sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, susulan siasatan dijalankan, polis menahan seorang wanita bukan warganegara berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dengan niat membuangnya.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya menghargai kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes kepada pegawai penyiasat, Inspektor Munnesh A/L Jegathesuran di talian 012-9922566 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X