Search

KEHILANGAN JUDE ANGEL TERUS MISTERI, NETIZEN TIDAK PUTUS BERDOA UNTUKNYA

July 13, 2022

admin

KOTA KINABALU: Kehilangan adik Jude Angel Jeremy yang berusia 18 bulan di Kampung Saliwangan Baru, Batu 66, di Beaufort, sejak Sabtu lalu, terus menjadi misteri apabila masih gagal ditemui hingga kini.

Operari pencarian yang masuk hari kelima, hari ini, juga masih belum menemui kelibat Jude Angel dengan operasi ditangguhkan pada jam 5.30 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ini dibahagikan kepada dua Kawasan.

“Kawasan pertama yang dianggotai bomba, polis, APM (Angkatan Pertahanan Awam), Rela, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta penduduk kampung menjalankan operasi dengan menyusuri tepi sungai dari batu 66 ke batu 60 dan kawasan pokok pisang serta belukar kelapa sawit dengan radius 5 kilometer dari lokasi pos kawalan bomba.

“Sementara itu, kawasan dua iaitu satu pasukan bomba dan satu pasukan APM menggunakan bot untuk pencarian permukaan di air dari Kampung Melulugus, Batu 60, di Sungai Padas sejauh 35 kilometer.

“Mangsa belum dijumpai seterusnya operasi ditangguh pada jam 5.30 petang dan akan disambung esok, sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kanak-kanak perempuan terbabit dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumahnya, Sabtu lalu.

Jude Angel disedari hilang oleh neneknya kira-kira jam 8.30 pagi selepas menyedari pintu rumah terbuka dan mangsa tidak ditemui di sekitar kawasan rumah.

Ketika kejadian, ibu bapa mangsa dikatakan tidak berada di rumah kerana keluar berniaga di tamu dan anak mereka dijaga neneknya.

Berita kehilangan Jude Angel mendapat liputan meluas dan menjadi viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ramai pengguna media sosial sama ada di Facebook, TikTok atau platform lain yang memuat naik gambar serta video anak kecil berkenaan memanjatkan doa dalam kapsyen mereka.

Tinjauan Info X mendapati kesemua pengguna media sosial yang memuat naik gambar atau video Jude Angel mendoakan supaya dia segera ditemui.

Terdapat juga video yang dimuat naik dengan dakwaan adik Jude Angel mungkin telah ‘disembunyikan’.

Walau apapun andaian, teori atau cerita mengenai kehilangan anak kecil itu, sama-samalah kita berdoa agar adik Jude Angel segera ditemui. – Info X