KOTA KINABALU: Sebanyak RM8.85 juta nilai jualan diperolehi menerusi inisiatif pembangunan usahawan pakaian seragam sekolah melalui program Canggih Go.
Dilaksanakan sejak tahun lalu, nilai jualan terkumpul berkenaan adalah bagi tujuh premis usahawan Canggih Go di seluruh negara setakat ini iaitu dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu premis di Perak, Sabah, Kuala Lumpur, Johor serta Selangor.
Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata pihaknya mengambil pendekatan mewujudkan program usahawan pakaian seragam sekolah untuk membuka peluang usahawan tempatan meningkatkan keupayaan dalam industri gaya hidup terutamanya penjualan pakaian serta barangan keperluan sekolah.
“MARA membimbing usahawan daripada aspek mengendalikan premis jualan pakaian seragam dan keperluan persekolahan keluaran Canggih agar mampu meningkatkan pendapatan.
“Selain itu, hal ini dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Sebanyak tujuh outlet Canggih Go berjaya dibuka iaitu dua outlet di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Perak, Sabah, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor sejak dilancarkan pada awal tahun 2021.
“Outlet ini mula beroperasi sewaktu negara masih berada dalam tempoh pandemik Covid-19 namun saya dimaklumkan usahawan ini berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM8.85 juta.
“Malahan kita sasarkan mereka akan mendapat keuntungan berlipat ganda selepas keseluruhan sektor ekonomi dibuka semula,” katanya pada pelancaran premis Canggih Go pertama di Sabah yang terletak di Cyber Perdana Commercial Centre, di sini, hari ini.
Turut disampaikan sumbangan 30 pasang pakaian seragam sekolah jenama Canggih dan wang tunai berjumlah RM3,000 kepada pelajar dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah, Kinarut Papar.
Mengulas lanjut, Azizah menyatakan usahawan akan diberi bimbingan dan latihan berstruktur yang komprehensif serta khusus bagi mencapai objektif pelaksanaan program berkenaan menerusi penyertaan di dalam Canggih Go.
Menurut Azizah, usahawan akan diberikan kemudahan khidmat nasihat bersama pakar dalam industri berkaitan, di samping penyediaan kemudahan pembiayaan sehingga RM200,000 kepada peserta yang berkelayakan dalam usaha memastikan
perniagaan diusahakan kekal bertahan dan berdaya saing.
“Melalui program sama, MARA bukan saja mensasarkan peningkatan pendapatan usahawan tetapi berharap dengan pembukaan outlet seperti di Sabah ini akan dapat meluaskan segmen pasaran produk jenama Canggih ke semua 26 daerah di negeri ini,” katanya. – Info X