KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya mematahkan kegiatan penyelewengan barang kawalan dalam serbuan di Sungai Kolapis, Beluran, semalam.
Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang, rampasan membabitkan minyak masak dan minyak diesel bersubsidi dengan nilai keseluruhan RM34,975.
“Hasil serbuan, pasukan operasi menemukan sebanyak 9,690 kilogram minyak masak peket satu kilogram di atas kapal yang ditahan.
“Selain itu, kita turut menemui 5,000 liter minyak diesel yang disimpan di dalam skid tank di kawasan berhampiran.
“Semua barang kawalan itu dipercayai cuba dijual ke negara jiran dan seorang lelaki tempatan turut ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961
“Nilai sitaan keseluruhan berjumlah
RM1,904,975. Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai
penjaga kapal di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi
tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Georgie berkata, penjaga kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.
“Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengenal pasti rantaian kegiatan ini,” katanya.
Sementara itu, Georgie berkata, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Syarikat pula, boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta sekiranya sabit kesalahan.
“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya. -Info X