KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memutuskan untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan Agensi Kawalan Penguatkuasaan Sempadan (AKPS) di Sabah sehingga memperolehi persetujuan tiada sebarang penghakisan hak istimewa dan kuasa autonomi Imigresen Sabah dan pihak berkuasa negeri.
Menerusi satu kenyataan pada Rabu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata langkah itu bagi menjamin perlindungan dan memelihara kedudukan Sabah dari segi perlembagaan (constitutional safeguard).
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jemaah Menteri telah meneliti isu semasa berhubung AKPS di Sabah yang dikesan ada elemen penghakisan kuasa dan hak keistimewaan Imigresen Sabah melalui sifat perundangan dan pengoperasian imigresen.
“Pelaksanaan AKPS ini akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk Sabah, di mana Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung ke atas AKPS, tetapi hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860).
“Selain itu, Kerajaan Negeri Sabah turut mengesan percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang boleh menjejaskan kelancaran dan kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu-pintu masuk negeri Sabah,” katanya.
Hajiji menegaskan kuasa autonomi imigresen kepada Sabah dan Sarawak adalah kuasa yang tidak boleh dirunding (non-negotiable) kerana implementasi penubuhan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia Agreement 1963 (MA63).
Jelasnya, perkara itu tertakluk
kepada penggubalan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak.
“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguh dasar dan pelaksanaan AKPS di Sabah sehingga memperolehi persetujuan bahawa tidak ada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa-kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya. – Info X