Search

Dua beradik mandi sungai, adik tidak sedarkan diri abang selamat

May 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan tidak sedarkan diri ketika mandi bersama abangnya di sungai berhampiran Kampung Dombung, Jalan Rampayan, Manggatal, di sini, petang tadi.

Mangsa berusia 10 tahun berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala abangnya yang berusia 11 tahun terselamat selepas dibantu rakannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.51 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari BBP Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, terdapat dua mangsa dipercayai lemas ketika mandi di sungai.

“Seorang mangsa berjaya diselamatkan rakannya, manakala seorang lagi berjaya dikeluarkan pasukan bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa ditemui pasukan bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri di sungai Kampung Dombung, Manggatal, Kota Kinabalu.

Menurutnya, anggota bomba kemudian memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa sebelum ketibaan pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi yang turut dibantu polis itu tamat sepenuhnya pada jam 5.17 petang,” katanya. – Info X