Search

10,200 liter diesel bersubsidi dirampas, pemandu tanker ditahan

May 13, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbongkar selepas sebuah lori tanker bersama 10,200 liter diesel dirampas dalam serbuan Op Taring Bravo 1 di Batu 8, Kampung Melayu, Jalan Labuk, di sini, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun turut ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi secara tidak sah.

Serbuan dijalankan Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan.

Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen atau permit bagi penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi.

“Turut dirampas sebuah lori tanker berkapasiti 12,000 liter, lapan tong drum berkapasiti 200 liter, sebuah pam elektrik bersama hos serta dua skid tank berkapasiti 12,000 liter.

“Sebanyak 10,200 liter minyak diesel bersubsidi turut dirampas dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM158,330,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan bersama suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat KPDN Cawangan Sandakan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, operasi bersepadu itu akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dapat dibanteras sepenuhnya. – Info X