KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Negeri menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Sabah menunjukkan ketegasan dan komitmennya mempertahankan hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim, berkata ketegasan mempertahan hak Sabah itu juga sama dalam semua peruntukan undang-undang sedia ada yang berkaitan kuasa autonomi imigresen negeri.
Sejajar dengan itu, katanya Pemuda Gagasan Rakyat menyokong penuh keputusan menangguhkan pelaksanaan AKPS yang ditegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sehingga semua perkara berkaitan kuasa autonomi imigresen dan hak istimewa negeri ini diperjelaskan serta dipelihara sepenuhnya.
“Keputusan yang dibuat oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah menunjukkan ketegasan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak Sabah sebagaimana yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan kuasa autonomi imigresen negeri.
“Pemuda Gagasan Rakyat berpandangan bahawa sebarang pelaksanaan dasar berkaitan kawalan sempadan dan imigresen di Sabah mesti dilakukan secara teliti, sistematik dan berpandukan peraturan serta undang-undang sedia ada agar tidak menjejaskan kedudukan serta bidang kuasa negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azrul turut mengakui aspek keselamatan sempadan dan pengurusan imigresen perlu diperkasakan demi menjaga keselamatan serta kestabilan negeri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, pelaksanaannya perlu menghormati kuasa dan hak negeri yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dan MA63.
“Pemuda Gagasan Rakyat yakin pendekatan tegas tetapi berhemah yang diambil Kerajaan Negeri ini adalah demi memastikan kepentingan Sabah sentiasa terpelihara, tanpa menjejaskan keperluan penguatkuasaan dan keselamatan di pintu-pintu masuk negeri.
“Kami akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak Sabah serta memastikan setiap dasar yang melibatkan negeri ini dilaksanakan dengan semangat Persekutuan yang menghormati hak dan autonomi Sabah,” katanya. – Info X