Search

Mayat masih belum dituntut, waris Wei Guan dicari

May 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia dan sehingga kini masih belum dituntut.

Dalam hebahan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini, lelaki dikenali sebagai Soon Wei Guan, 60, berbangsa Cina.

Alamat terakhir lelaki berkenaan direkodkan di 59, Lorong Ikan Lais, Jalan Mat Salleh, Tanjung Aru, di sini.

Mayatnya kini ditempatkan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu sementara menunggu waris tampil untuk urusan pengecaman dan tuntutan.

Sehubungan itu, ahli keluarga, saudara-mara atau mana-mana individu yang mengenali lelaki terbabit diminta segera menghubungi pihak polis bagi membantu urusan pengesanan waris.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Timbalan Ketua Polis Balai Manggatal, Sarjan Nor Sham Yunus di talian 013-8589335 atau Balai Polis Manggatal di talian 088-492222.

Kerjasama orang ramai dalam membantu menyalurkan maklumat amat dihargai bagi memudahkan urusan pengecaman dan tuntutan. – Info X