Search

Dua beradik wanita dikuatiri hilang selepas keluar memancing

May 13, 2026

Info X Reporters

SIPITANG: Dua beradik wanita dikhuatiri hilang selepas gagal pulang ke rumah ketika keluar memancing di kawasan hutan berhampiran Kampung Padang Berempah, di sini, hari ini.

Mangsa Maimun Sibun, 59, dan adiknya Zaleha Sibun, 56, dipercayai keluar menjalankan aktiviti memancing kira-kira jam 8.30 pagi sebelum ahli keluarga menyedari mereka masih belum pulang dan gagal dihubungi sehingga malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Penolong Penguasa Bomba Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.54 malam.

Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Toyota Vigo dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.

“Menurut pemanggil, kedua-dua mangsa keluar dari rumah sekitar jam 8.30 pagi untuk menjalankan aktiviti memancing, namun sehingga malam masih belum pulang dan gagal dihubungi.

“Pemanggil yang bimbang dengan keselamatan mangsa kemudian menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9.14 malam sebelum mendapatkan maklumat lanjut dan membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Setakat ini kedua-dua mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR sedang giat dijalankan.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X