SIPITANG: Dua beradik wanita yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing di kawasan hutan berhampiran Kampung Padang Berempah, di sini, ditemukan selamat malam tadi.
Mangsa Maimun Sibun, 59, dan adiknya, Zaleha Sibun, 56, ditemui orang awam kira-kira jam 11.29 malam pada jarak satu kilometer dari lokasi mereka dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Penolong Penguasa Bomba Calvin Joe Jeafery berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa keluar ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi pemeriksaan serta proses pengecaman oleh ahli keluarga.
“Selepas selesai pemeriksaan dan pengesahan dijalankan, kedua-dua mangsa dibawa pulang oleh ahli keluarga dalam keadaan selamat.
“Pasukan bomba kemudian menamatkan operasi sepenuhnya selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Menurutnya, pihak bomba sebelum itu menerima panggilan kecemasan pada jam 8.54 malam berhubung dua wanita yang belum pulang ke rumah selepas keluar memancing sejak jam 8.30 pagi.
Terdahulu, kedua-dua mangsa dilaporkan gagal dihubungi sehingga mencetuskan kebimbangan ahli keluarga sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan di kawasan hutan berhampiran kampung berkenaan. – Info X