KOTA KINABALU: Kanak-kanak lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus ketika mencari ikan di Sungai Rampayan berhampiran Kampung Dombung, Manggatal, petang semalam disahkan meninggal dunia.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa Muhammad Hamizan Aqil Ahmad, 11, dikatakan pergi ke sungai berkenaan bersama sembilan rakannya dari kawasan sama.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama seorang rakannya dipercayai tersasar sebelum dihanyutkan arus sungai.
Katanya, rakan mangsa kemudian meminta bantuan orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian sebelum anggota Balai Polis Manggatal bergegas ke lokasi.
“Pasukan anggota dari Bomba dan Penyelamat Lintas tiba di lokasi kira-kira jam 4 petang sebelum mangsa berjaya ditemukan pada jam 4.17 petang.
“Mangsa kemudian diberikan bantuan pernafasan CPR di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Likas menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 5.46 petang oleh doktor Hospital Likas.
Katanya, polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengawasi kanak-kanak ketika berada di kawasan sungai atau perairan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. – Info X