KOTA KINABALU: Jenama pakaian luncur terkenal, Rip Curl Malaysia tampil dengan koleksi terbaharu dikenali sebagai “Artist of The Search” menerusi kolaborasi bersama kolektif seni terkenal dari Sabah, Pangrok Sulap.
Koleksi edisi terhad itu menggabungkan elemen budaya tempatan, kehidupan pesisir pantai dan ekspresi seni urban menerusi rekaan autentik yang dihasilkan Pangrok Sulap.
Ini juga menjadi kolaborasi pertama antara Rip Curl Malaysia dan Pangrok Sulap, sekali gus membawa perspektif baharu kepada landskap kreatif jenama berkenaan.
Menurut kenyataan Rip Curl Malaysia, kempen itu diinspirasikan daripada semangat komuniti, budaya Borneo dan gaya hidup ombak yang diterjemahkan melalui rekaan unik pada koleksi baju-T terbabit.
Pangrok Sulap yang ditubuhkan pada 2010 di Ranau dikenali sebagai kolektif seni yang menghimpunkan pelbagai disiplin termasuk artis, penulis, penyelidik, aktivis, pemuzik dan pereka grafik.
Kolektif itu juga aktif menjalankan pelbagai program komuniti, pameran seni, bengkel serta projek pembangunan sosial dan pendidikan di dalam serta luar negara sejak 2013.
Antara rekaan utama diperkenalkan ialah “Spirit of the Waves” yang mengetengahkan kehidupan kampung di Borneo dengan elemen ombak, permainan tradisional dan budaya ‘tarik upih’ sebagai simbol hubungan antara darat dan laut.
Selain itu, rekaan “Waves and Roots” pula menggambarkan suasana zaman kanak-kanak di kampung dengan gabungan motif tradisional Borneo serta budaya luncur moden.
Rip Curl Malaysia turut memaklumkan sebahagian hasil jualan koleksi berkenaan akan disalurkan kepada inisiatif komuniti yang dipilih Pangrok Sulap sebagai usaha memberi impak positif kepada masyarakat.
Koleksi “Artist of The Search” kini boleh didapati di semua cawangan Rip Curl seluruh negara dan secara dalam talian menerusi Rip Curl Malaysia. – Info X