Search

Dua lelaki ditahan, 40 botol air ketum dirampas

May 14, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Kegiatan memproses dan mengedar air ketum terbongkar selepas dua lelaki tempatan diberkas dalam serbuan di dua lokasi berasingan di daerah ini, semalam.

Dalam operasi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bermula kira-kira jam 10 pagi itu, kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis cuci kereta di Kampung Radu hasil maklumat risikan.

Katanya, pemeriksaan di lokasi menemui sebotol minuman berwarna hijau jenama Mountain Dew disyaki mengandungi air ketum dengan anggaran isipadu kira-kira 200 mililiter.

“Hasil soal siasat awal terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tinonkudan Bodoi.

“Dalam operasi itu, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan belakang rumah suspek menemui 40 botol air mineral disyaki mengandungi cecair ketum selain peralatan memasak dan tong penyimpanan dipercayai digunakan untuk memproses bahan terbabit.

Katanya, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Kota Marudu untuk tindakan lanjut manakala semua barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Simiun berkata, pihak polis memandang serius kegiatan pengedaran air ketum yang semakin berleluasa di daerah itu dan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti berkenaan.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha membendung kegiatan itu demi keselamatan komuniti setempat. – Info X