Search

‘Wujudkan Majlis Keselamatan Sempadan Sabah’

May 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Keselamatan Sempadan Sabah dicadang diwujudkan bagi menyelaras fungsi pelbagai agensi penguatkuasaan sempadan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P Alian yang mencadangkan perkara itu, berkata majlis dipengerusikan Ketua Menteri itu perlu bagi menyelaras fungsi Imigresen, ESSCOM, PDRM dan agensi berkaitan.

“Dengan adanya majlis ini, Sabah akan dilihat membawa solusi keselamatan yang bersepadu, membuktikan bahawa kita mampu menguruskan keselamatan wilayah kita sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada agensi pusat yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Penubuhan majlis itu adalah antara enam solusi yang dicadang pemimpin Parti Warisan itu bagi mengembalikan keseimbangan kuasa yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum ini.

Beliau mengemukakan cadangan itu sebagai maklum balas terhadap keputusan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) di Sabah selepas dikesan mengandungi perkara yang menghakis kuasa autonomi Imigresen Sabah.

“Keputusan ini adalah langkah kanan, namun kita tidak boleh sekadar berhenti pada penangguhan. Sabah perlu membawa solusi yang progresif tanpa mengetepikan tuntutan asal bagi memulihkan hak eksekutif negeri.

“Sabah tidak menolak kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi kita menolak sebarang bentuk pemusatan kuasa yang menghakis semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Model yang kita mahukan adalah ‘perkongsian kuasa’ yang berteraskan prinsip wilayah berdaulat, bukannya konfrontasi politik semata-mata,” katanya.

Pada Rabu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keputusan kerajaan negeri untuk menangguhkan pelaksanaan AKPS di Sabah sehingga ada jaminan ia tidak menjejaskan kuasa autonomi imigresen Sabah.

Sementara itu, cadangan lain Assafal berhubung pengembalian kuasa MA63 termasuk menuntut Restorasi Kuasa Eksekutif: Kembali kepada Teks Asal 1963 yang membabitkan restorasi penuh teks asal Akta Imigresen.

Katanya, pindaan-pindaan sebelum ini, terutama melalui Act A985 (1997) dan Act A1154 (2002) secara sistematik memindahkan kuasa pelantikan dan arahan daripada peringkat Negeri kepada Menteri Persekutuan (KDN).

“Pindaan ini meremehkan peranan eksekutif Ketua Menteri Sabah yang dijamin dalam RUU1963. Maka, semua pindaan yang mengambil alih kuasa eksekutif negeri ini wajib dikaji semula dan dikembalikan kepada punca kuasa asal,” katanya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan Mekanisme Pelantikan Bersama sebagai Langkah Transisi dengan memastikan pelantikan Pengarah Imigresen Sabah dibuat secara bersama (joint-appointment) antara Kerajaan Negeri dan KDN.

Katanya, Sabah mesti mempunyai suara dalam menentukan siapa yang mentadbir pintu masuk wilayah negeri ini, bagi memastikan individu itu mempunyai tanggungjawab perlembagaan terus kepada Pihak Berkuasa Negeri.

Assaffal turut mencadangkan Pemerkasaan Aset dan Teknologi Jabatan Imigresen Sabah dengan menuntut tambahan aset kritikal seperti radar pantai, dron pemantauan, bot peronda laju dan teknologi biometrik moden diberikan terus kepada Jabatan Imigresen Negeri.

“Pemerkasaan ini jauh lebih efektif daripada mewujudkan lapisan agensi persekutuan baharu yang hanya akan merumitkan birokrasi operasi,” katanya.

Tidak ketinggalan, Assaffal juga menekankan supaya keutamaan diberikan kepada anak Sabah dalam penguatkuasaan sempadan kerana mereka lebih memahami keadaan tempatan dan sensitiviti kawasan.

Selain itu, katanya satu Kertas Putih mengenai PATI dan keselamatan sempadan perlu dibentangkan untuk melihat impak lambakan warga asing terhadap ekonomi rakyat—termasuk tekanan terhadap kadar gaji, peluang kerja serta bebanan kemudahan hospital dan pendidikan di Sabah.

Beliau juga mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas DUN Sabah mengenai MA63 ditubuhkan bagi membahaskan perkara berkaitan.

“Isu autonomi ini tidak boleh diselesaikan di peringkat Eksekutif semata-mata. Saya mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas DUN Sabah mengenai MA63 dan Keselamatan Sempadan. Suara Dewan Undangan adalah suara rasmi rakyat Sabah; isu kedaulatan ini perlu dibahas dan diputuskan oleh wakil rakyat secara berterusan, bukan hanya ketika timbul kontroversi,” katanya. – Info X